Rabu, 1 Mei 2013

Banyak sangat "kepala"..susahkan?

Assalammualaikum & Hai,

Selamat Hari Pekerja!

Pernahkan anda alami situasi dalam sesuatu majlis, terutama di majlis kenduri kendara akan wujud ramai individu yang memberikan arahan dan pendapat mereka pada masa yang serentak seolah-olah mereka tahu segalanya. Saya pasti dan yakin ramai di antara kita yang akan mengalami perkara yang sama atau telah mengalaminya. Sudah menjadi kelaziman setiap yang berpengalaman atau orang kata "lebih makan garam" akan sentiasa cuba ke hadapan. Tidak salah kalau ada yang "otai" dalam penganjuran majlis ini namun begitu, kadangkala apa yang  cuba disampaikan itu akan memberikan input yang boleh mengelirukan kerana arahan dan pendapat yang diberikan tidak sampai sepenuhnya atau tidak tepat kerana terlalu banyak arahan atau "kepala". Sememangnya niat dan tujuan setiap indvidu ini adalah sama iaitu bagi memastikan majlis tersebut berjalan lancar sedangkan tanpa mereka sedari cara tersebut sebenarnya akan menyukarkan beberapa pihak yang akan terlibat dengan keputusan mereka.


Sebagai metaforanya jika kita melihat kepada situasi di atas sebuah kapal, pada asasnya hanya akan ada seorang kapten yang akan memimpin anak kapalnya untuk membawa kapal mereka ke suatu destinasi yang dituju. Tapi jika melihat kepada situasi tersebut kita semua tahu kalau terlalu ramai kapten dalam sebuah kapal, pasti arah tuju dan haluan kapal akan menjadi huru hara apatah lagi penerimaan dari anak kapal yang berada di atas kapal itu sendiri.


Begitu juga realiti dalam pengurusan majlis tentang kepentingan seorang Floor Manager sebagai penentu kepada keputusan yang telah dibuat oleh jawatankuasa majlis. Floor Manager, bagi saya adalah sebagai penghubung di antara jawatankuasa majlis dan tetamu atau audiens. Jadi setiap pihak harus memahami akan fungsi dan peranan sebenar Floor Manager iaitu beliau berkuasa ketika majlis berlangsung dan layak membuat keputusan yang sewajarnya mengikut perancangan majlis tersebut.



Sememangnya peranan seorang Floor Manager sangat signifikan dalam penganjuran sesuatu majlis dan ini bergantung kepada kehendak majlis itu sendiri. Akhirnya jika hanya satu "kepala" sebagai nakhoda, ia pasti akan melancarkan lagi perjalanan majlis yang telah dirancang kerana setiap orang faham akan peranan masing-masing tanpa perlu menganggu kerja orang lain.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan